SKUAD 42 RELA BERJAYA MENGHARUNGI CABARAN 2011

SKUAD 42 RELA BERJAYA MENGHARUNGI CABARAN 2011
Skuad 42 RELA Yang Dipilih Oleh IPD MT Sejak 2009 Untuk Operasi Benteras Lumba Haram (Mat Rempit) Hendak Dibubarkan???

Ahad, 29 Ogos 2010

UNDANG-UNDANG BENAR RAKYAT TANGANI JENAYAH

Dalam konteks undang-undang yang ada di dalam negara kita, peruntukan yang mengenakan tanggungjawab ke atas ahli masyarakat bagi membantu pihak berkuasa dalam menangani masalah jenayah boleh dilihat dalam undang-undang prosedur jenayah dan juga Kanun Keseksaan.

Pihak berkuasa , terutamanya polis, sekiranya perlu, berhak menahan serta menangkap mana-mana orang bagi tujuan mengenalpasti identitinya atau menahan sesuatu kenderaan bagi mencari bukti mengenai apa-apa perbuatan jenayah. Masyarakat pula dikenakan tanggungjawab bagi membantu pihak berkuasa dalam keadaan ini.

Mengikut perundangan yang ada, terutamanya prosedur jenayah misalnya, masyarakat mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk membantu polis bagi menguatkuasa undang-undang dengan cara memberikan maklumat atau membantu polis di dalam menjalankan tugas ini.

Sebagai contoh, Seksyen 13 Kanun Prosedur Jenayah mengenakan tanggungjawab ke atas masyarakat untuk menyampaikan maklumat berkaitan kesalahan jenayah atau persediaan mana-mana orang untuk melakukan jenayah tertentu kepada pihak berkuasa.

Walau bagaimana pun tidak menyediakan hukuman ke atas sebarang kegagalan memberikan maklumat pertama kepada pihak berkuasa. Mungkin ini menjadikan sesetengah pihak di dalam masyarakat enggan mengambil kisah mengenai sesuatu perilaku jenayah.

Walaupun begitu, sekiranya diarahkan pihak berkuasa untuk membantu pihak berkuasa, dia hendaklah membantu. Dalam kata lain, sekiranya seseorang itu mendapat arahan daripada pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu, tetapi dia enggan melakukannya, maka dia boleh didakwa bagi kesalahan yang disebut di bawah Bab 10 Kanun Keseksaan.

Menurut Kanun Keseksaan, keengganan menyampaikan maklumat mengenai sesuatu kesalahan adalah satu kesalahan jenayah dan ahli masyarakat yang enggan memberi maklumat itu boleh didakwa di bawah Seksyen 176 Kanun Keseksaan. Hukuman yang boleh dikenakan mencecah tempoh enam bulan penjara atau denda yang boleh mencapai RM2,000.

Ahli masyarakat juga mempunyai peranan untuk menghormati tugas pihak berkuasa dan perbuatan menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugasnya adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara, bagi tempoh mencecah dua tahun atau denda RM10,000.

Sekiranya diminta, seorang orang awam juga mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk membantu penjawat awam serta penguat kuasa, termasuk polis. Keengganan untuk membantu adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 187 Kanun Keseksaan, dan hukumannya mungkin mencecah tempoh enam bulan penjara atau denda sehingga RM1,000.

Pada pendapat saya, walaupun masyarakat sudah diberikan tanggungjawab undang-undang membantu pihak berkuasa dalam menangani jenayah atau juga masalah sosial, penguatkuasaan undang-undang mengenai tanggungjawab berkenaan tidak begitu menyerlah atas pelbagai sebab. Ini akan mengakibatkan tanggungjawab undang-undang itu tidak begitu diberi perhatian atau mungkin kerana undang-undang terbabit masih belum memadai untuk memberikan rasa tanggungjawab mengenai pencegahan jenayah.

Dalam sistem ini, masyarakat ditanam dengan nilai menghormati kepentingan keseluruhan masyarakat, kesedaran sepenuhnya mengenai tanggungjawab mereka yang sebenar dan mendahulukan kepentingan umum daripada kepentingan diri sendiri.

Bahan rujukan : Ringkasan Rencana Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam Berita harian Selasa 27 Julai 2010.

Jumaat, 6 Ogos 2010

Mesyuarat Platun RELA rancak berjalan...






Aktiviti-aktiviti sedang rancak berjalan sekarang di mana setiap platun telah diminta merancang mengadakan mesyuarat platun dalam masa terdekat. Dalam memastikan agenda mesyuarat berjalan lancar dan teratur, KPRM telah mengikuti setiap mesyuarat platun yang telah diadakan, memberi penerangan dan sessi soal-jawab mengenai RELA khususnya perkembangan RELA Daerah Melaka Tengah.

Platun-platun yang selesai mengadakan mesyuarat platun seperti berikut:-

  • Mesyuarat Platun 59 telah diadakan pada 10 Julai 2010 hari Sabtu jam 9.30 malam di rumah En. Mazlan Bin Yem selaku ketua platun baru. Seramai 18 orang telah hadir dalam mesyuarat kali pertama diadakan. Wakil dari ketua platun lain juga hadir bagi membantu dan memberikan sokongan kepada platun tersebut. Beberapa nama anggota yang hadir telah dipilih bagi menganggotai Jawatankuasa Platun 59 sebagai Sarjan dan Koperal platun.

  • Mesyuarat Platun 29 telah diadakan pada 1 Ogos 2010 hari Ahad jam 9.00 malam di rumah En. Ee Teck Chye selaku ketua platun baru. Seramai 15 orang telah hadir dalam mesyuarat tersebut dan 4 orang wakil dari ketua platun lain turut serta membantu dan memberikan sokongan mereka. Pemilihan beberapa nama anggota untuk diberikan tanggungjawab sebagai Sarjan dan Koperal Platun telah dibuat.

  • Mesyuarat Platun 60 telah diadakan pada 6 Ogos 2010 hari Jumaat jam 9.30 malam di rumah En. Nordin Bin Hussin selaku ketua platun baru. Seramai 13 orang anggota baru telah hadir termasuk 5 orang wakil dari ketua-ketua platun bagi menunjukkan sokongan dan berkongsi pengalaman masing-masing dalam aktiviti RELA sebelum ini. Senarai nama anggota terpilih sebagai Sarjan dan Koperal telah diserahkan pada KPRM malam itu.

Nota : Senarai nama anggota yang terpilih memegang jawatan sebagai Sarjan dam Koperal Platun akan dikemukakan ke pengetahuan Pihak Pejabat RELA Negeri dan Daerah Melaka Tengah untuk peringkat kelulusan SEGERA bagi melengkapkan Carta Organisasi Platun RELA di kawasan Bachang, Melaka. Setiap platun-platun tersebut telah disarankan merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti mereka secara AKTIF mulai sekarang.

Terdapat 3 platun lagi akan mengadakan mesyuarat platun mereka dalam masa terdekat memandangkan kesibukan dan mencari tarikh yang sesuai dengan anggota-anggota mereka.